Saturday 9 July 2016

USAHAWAN MELAYU ALI BABA

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini kita tidak lekang didedahkan dengan pelbagai isu penipuan atau penyelewengan orang Melayu dalam dunia perniagaan (Contohnya, Ali baba, kontraktor palsu dan sebagainya). Isu demi isu yang didedahkan ini mengheret kita kepada keadaan seumpama ‘minum air serasa duri’.
Pada 1 Jun 1996, kita sekali lagi digemparkan keresahan apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendedahkan bahawa 90 peratus peniaga Melayu di Selangor yang mendapat peluang perniagaan daripada kerajaan telah menjualnya semula untuk mendapat keuntungan (rujuk Utusan Malaysia, 1 Jun 1996). Berita ini menggerakkan saya untuk berfikir apa pula akan terjadi ‘Apabila Perniagaan Milik Melayu Terjual…’ Yang pastinya, saya terus dilanda kerisauan dan kesedihan walaupun setelah menulis artikel bertajuk ‘Pengkhianat Ekonomi Melayu – Dari Ali Baba Beralih ke Kontraktor Palsu’ dalam keluaran MASSA dua minggu lepas.
Umumnya, pengumuman Muhammad Muhd Taib tersebut mempamerkan satu lagi petanda tidak sihat yang mampu menghancurkan proses kelahiran Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera di negara ini. Pembongkaran isu ini juga sekali gus memberi amaran kepada orang-orang Melayu sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan maka usaha-usaha untuk melahirkan usahawan tulen Melayu, pengukuhan penglibatan ekonomi dan pembentukan sistem jaringan usahawan Melayu akan turut musnah sama sekali.
Urutan daripada pemaparan isu yang memalukan tersebut memaksa kita mencari jawapan pada punca kejadiannya. Peratusan kegagalan yang terlalu tinggi (90 peratus) bisa merugikan bangsa ini sendiri, sukar dimaafkan dan perlu ditangani secara serius. Sebaliknya kejayaan kecil 10 peratus sahaja yang masih mampu meneruskan amanah kerajaan negeri tersebut bagi melahirkan usahawan tulen bumiputera perlu terus diberi sokongan dan bimbingan supaya dapat dijadikan role model  atau katalis pada pertumbuhan ekonomi masyarakat bumiputera.
Persoalannya apakah faktor yang mendorong peniaga tadi untuk menjual perniagaannya bagi mendapat keuntungan segera? Jawapan mudah ialah dengan meletakkan blame kepada pihak peniaga tadi. Kerana faktor modal, kekurangan kemahiran, ketiadaan daya saing serta enggan mengambil risiko merupakan faktor yang telah lama dibincangkan kewujudannya dalam masyarakat keusahawanan kita.
Namun meletakkan kesalahan kepada peniaga sahaja tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah ini daripada terus merebak. Jika ditinjau dari sudut pengurusan, punca permasalahan ini akan memaksa kita meneliti kepada dua andaian. Pertama, kemungkinan terdapat juga kelemahan dalam proses pembuatan keputusan hingga menggagalkan kemampuan mereka untuk mengenal pasti ‘usahawan tulen’ yang mampu dianugerahkan peluang perniagaan tadi. Kedua, (berkait dengan pertama) ialah kemungkinan wujudnya kesilapan penetapan kriteria semasa melakukan pemilihan usahawan. Kalau kedua-dua andaian ini dapat diterima maka pihak pembuat keputusan perlulah menilai semula proses pemilihan penganugerahan tersebut. Jika tidak, kewibawaan pembuatan keputusan akan terus dipertikaikan pada masa-masa akan datang.
Tidak dinafikan sejak peristiwa 13 Mei 1969 sehingga ke hari ini, pihak kerajaan (sama ada Pusat atau Negeri) telah memainkan peranan yang amat besar sebagai ejen penggalak pembangunan usahawan bumiputera. Malah tidaklah keterlaluan jika dikatakan dengan tertubuhnya Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU) peranan ini dikatakan menjadi lebih besar lagi. Bahkan kelahiran KPU dilihat sebagai ejen perubahan untuk menyegerakan pertambahan kuantiti usahawan bumiputera serta strategi merapatkan jurang pencapaian ekonomi antara kaum.
Namun yang menjadi persoalannya ialah bagaimana kita boleh meminimumkan kesalahan atau kecacatan dalam usaha melahirkan masyarakat usahawan bumiputera yang berkualiti? Kita telah muak dengan keluhan pemerhati atau penganalisis ekonomi yang menyatakan walaupun terdapat peningkatan penglibatan bumiputera dalam dunia perniagaan tetapi kaum ini masih gagal menyaingi peningkatan yang terlalu besar di kalangan bukan bumiputera. Selain dari itu mereka juga merakam rasa kebimbangan tentang wujudnya usahawan Melayu berjaya yang dilahirkan secara ‘buatan’ atau manufacture. Usahawan-usahawan sebegini sebenarnya tidak mempunyai substance dan mudah lebur apabila berlaku kemelesetan. Sepatutnya usahawan Melayu yang berjaya diberi peluang perniagaan oleh kerajaan ini (terutamanya melalui penswastaan) perlulah mengukuhkan networking  perniagaan mereka dengan menguasai akar umbi hinggalah kepada end product perniagaan mereka. Konsep berdikari tanpa membiarkan bahagian pembekalan tanpa dikuasai oleh bangsa asing akan menjamin kesinambungan perniagaan mereka walaupun pada musim meleset.
Menyedari hakikat kelemahan ini, seeloknya kita duduk semeja, merenung kembali dasar-dasar dan polisi keusahawanan yang boleh merugikan bangsa kita sendiri. Kalau penulis Watan 7 Jun 1996 mengeluh tentang purchasing power Melayu yang semakin lemah akibat tergadainya tanah rizab Melayu, maka marilah kita renung juga senario yang hampir sama akan berlaku akibat tergadainya perniagaan Melayu tadi. Orang Melayu harus disedarkan ‘tiada jalan senang untuk menjadi senang’. Program usahawan PJU adalah untuk menangani permasalahan di atas.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.