Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, disebabkan kegagalan menerajui bidang ekonomi, mereka terpaksa bergantung kepada kaum lain termasuk dalam menghasilkan produk halal.
Jelasnya, pada masa ini sebanyak 70 peratus usahawan bidang halal terdiri daripada bukan Islam manakala 30 peratus lagi adalah usahawan Melayu beragama Islam.
"Kita gagal menghayati dan menjadikan sejarah Nabi Muhammad SAW sebagai contoh apabila dalam usia enam atau tujuh tahun, baginda telah membantu bapa saudaranya berniaga.
"Sebab itu kita hanya menjadi golongan pembeli dan bukannya penjual selain suka makan gaji. Orang yang makan gaji tidak akan kaya-raya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Forum Keusahawanan Mahasiswa Berteraskan Maqasid Syariah sempena Majlis Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa Perdana di Kompleks Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.
Program anjuran Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia itu turut dihadiri Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.
Sementara itu, Ahmad meminta mahasiswa memulakan minat dan kecenderungan untuk menjalankan perniagaan sejak di universiti lagi.
Beliau juga berharap pihak universiti menyediakan ruang dan galakan kepada mahasiswa untuk berniaga termasuk menerapkan semangat terhadap perniagaan semasa sesi pembelajaran di bilik kuliah.