Thursday 7 July 2016

CERITA BANGSA KITA DALAM PERNIAGAAN

Saya hampir ketawa apabila seorang peniaga Melayu di pekan berhampiran tempat tinggal penulis mengeluarkan mesin kira untuk mengira harga dua biji buah epal dan tiga biji oren yang dibeli oleh seorang pelanggan. Mengikut tanda harga yang tertera, sebiji epal berharga 80 sen dan begitu juga dengan harga bagi sebiji oren.
Pelanggan itu juga tersenyum kerana dia terlebih dahulu menghulurkan wang sebanyak RM4 kepada peniaga berkenaan dan diletakkannya di atas meja kaunter.
Dalam satu kes di kedai runcit orang Melayu, peniaganya menyediakan dua buah kerusi di depan kedainya. Maka apabila ada rakan yang datang, maka melepaklah rakan-rakannya di depan kedai sehingga naik segan orang lain hendak singgah membeli di kedainya. Jika orang perempuan, lebih segan jadinya.
Dalam satu kes pula, salah seorang peniaga Melayu yang berniaga kedai runcit yang kebetulan diapit oleh dua buah kedai runcit orang Cina, terpaksa menutup perniagaan kerana tidak tahan dengan saingan harga. Kedua-dua kedai orang Cina itu masih menjalankan perniagaan dan tempat peniaga Melayu tadi juga diambil alih oleh seorang peniaga lain, berbangsa Cina juga.
Sejarah perniagaan orang Melayu bukanlah baharu kerana sejak zaman dahulu lagi orang Melayu dikatakan pandai berniaga.
Dalam hikayat-hikayat lama, orang Melayu sudah menjalankan aktiviti perdagangan yang bukan sahaja membabitkan barang-barang seperti rempah cabai tetapi menjangkau bidang niaga yang lebih besar.
Hanya lama-kelamaan orang Melayu beralih kepada bidang pertanian dan perikanan kerana bidang niaga mula dikuasai oleh orang asing yang dikatakan lebih pandai berniaga, bersistematik, ada ilmu niaga, ada kesatuan, berani menempuh cabaran dan sebagainya.
Zaman selepas merdeka, menurut kata bapa penulis, orang Cina masih menjalankan perniagaan runcit di kampung-kampung Melayu kerana tiada orang Melayu yang berniaga.
Kemudian apabila orang Melayu sudah mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan, orang Cina berpindah ke pekan-pekan dan terus menjalankan perniagaan mereka di sana, jauh lebih besar daripada apa yang diniagakan di kampung.
Sejak dahulu lagi, orang Melayu di kampung-kampung yang ada kenderaan atau mudah bergerak ke pekan atau ke bandar akan terus membeli dengan orang Cina kerana kedai-kedai runcit orang Melayu di kampung menawarkan harga yang mahal, maksudnya jika beli sepuluh barang di kedai Cina, sekurang-kurang untung RM3 atau lebih.
Itu zaman dahulu di mana nilai RM3 besar yang hampir sama dengan RM30 zaman sekarang. Sampai zaman sekarang pun, masih ramai peniaga Melayu yang terpaksa menjual lebih mahal kerana dakwa mereka mendapat untung yang tidak begitu banyak kerana barang-barang yang disumbat di dalam kedai mereka dibekalkan oleh peniaga Cina di pekan atau di bandar.
Boleh dikatakan masih ada kedai-kedai runcit Melayu di kampung sekarang cuba bertahan kerana mereka ada pelanggan tetap memandangkan pemilik kedainya membenarkan pelanggannya berhutang.
Walaupun pekedai terpaksa menanggung risiko, tetapi itulah sahaja sebahagian kaedah untuk meneruskan aktiviti niaga daripada membiarkan perniagaan terus berkubur.
Dalam ceramah-ceramah berkaitan bidang perniagaan orang Melayu, ramai yang menjadikan ketam sebagai simbol kepada kaedah dan 'penyakit' orang berniaga.
Ketam, jika diletakkan beberapa ekor di dalam sebuah baldi, berebut-rebut hendak panjat ke atas.
Bagi orang Cina, jika salah seekornya berjaya naik, ketam itu digambarkan gembira, panggil kawan-kawan di bawah, suruh naik kerana pemandangan di atasnya menarik. Bagi Melayu, seekor sudah hampir berjaya memanjat, yang di bawahnya menarik, sehingga kesemuanya tidak pernah berjaya naik. Jika ada pun yang berjaya naik, tidak dipandangnya lagi ke bawah, dan tidak diambil tahu apa yang terjadi kepada rakan-rakan di bawah.
'Penyakit' dan kelemahan-kelemahan cara niaga orang Melayu perlu diperbaiki jika orang Melayu mahu menjadikan bidang niaga sebagai satu bidang yang boleh memberi pulangan yang lumayan, sebagai satu pekerjaan dan boleh diwarisi oleh anak-anak cucu mereka.
Mereka perlu melihat dan belajar daripada bangsa yang pandai berniaga, bagaimana kaedah mereka berniaga dan bagaimana cara mereka mengendalikan perniagaan sejak sekian lama kemudian berjaya pula diwarisi oleh anak-anak cucu mereka.
Apa yang pernah penulis lihat, seorang peniaga Cina membiarkan anaknya membuat kerja-kerja sekolah di dalam kedai, iaitu di celah-celah lorong kedai runcitnya.
Pada mulanya penulis agak hairan kerana pergerakan pelanggan di dalam kedai itu terganggu sedikit. Tetapi lama-kelamaan penulis dapat memahami bahawa itulah cara mereka mendidik anak-anak supaya menjadi peniaga seperti mereka. Penulis sempat menjengah kerja yang dilakukan oleh anak peniaga itu. Rupa-rupanya Matematik!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.